SEKOLAH

                                             SEKOLAH KEBANGSAAN TAMING JAYA

           Sekolah Kebangsaan Taming Jaya(SKTJ) telah mula dibina pada tahun 1994. Pembinaannya melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM 2,551,828.00 menerusi pembiayaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-6. Secara rasmi, SKTJ telah memulakan operasinya pada hari isnin, 10 Julai 1995.

Dua hari sebelumnya telah diadakan majlis penyerahan rasmi bangunan sekolah oleh pihak Jabatan Kerjaya (JKR ) hulu langat kepada pihak jabatan Pendidikan Negeri 9 (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat(PPDHL) dan Ketua Pentadbir SKTJ iaitu Guru Besar pertama Puan Zakiyah Bt Hussain. Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Taming Jaya bersempena lokasi sekolah yang terletak dalam kawasan Taman Taming Jaya, Balakong, Selangor.

Pada hari pertama beroperasi, enrolmen murid adalah seramai 557 orang dan meningkat kepada 652 orang pada Ogos 1995. Sebilangan besar merupakan murid yang ditempatkan semula dari beberapa buah sekolah yang berhampiran seperti S.K Batu 9, Cheras, S.K Seri Sekamat dan S.K Serdang. Pada peringkat awal, hanya 14 kelas sahaja dibuka melibatkan murid tahun 1 sehingga tahun 5. Bilangan guru pula adalah seramai 25 orang termasuk seorang Guru Besar DG5.

Guru Besar pertama selaku pengasas sekolah ialah Puan Zakiyah Bt Hussian. Beliau telah berkhidmat di SKTJ mulai 1 Jun 1995 sehingga 15 Disember 1995, sebelum berpindah ke PPDHL.

Selaku Ketua Pentadbir bagi sebuah sekolah baru, beliau telah memainkan peranan penting dalam membina imej sekolah, keceriaan, pembangunan fizikal berupa kemudahan asas dan pengurusan pada peringkat awal. Sepanjang perkhidmatan singkat beliau,moto,logo atau lencana, lagu dan bendera sekolah telah berjaya diwujudkan.

Moto SKTJ ialah "USAHA, GIGIH, CEMERLANG yang telah dimasukkan dalam logo lencana sekolah. Moto, lencana dan bendera sekolah telah dicipta oleh salah seorang guru perintis SKTJ iaitu Cikgu Ruhana Bt Jaafar.


Pada 16 Disember 1995, SKTJ diterajui oleh Puan Narinah Bt Kassim. Beliau berkhidmat di SKTJ sehingga bersara pada 19 Disember 1999. Sepanjang 4 tahun perkhidmatannya, SKTJ mengalami banyak perubahan terutamanya yang melibatkan pertambahan bilangan murid.

Pada awal 1997, bilangan murid adalah seramai 1898 orang dan terus meningkat sehingga 2135 orang pada 31 Julai 1998. berikutan itu, pada 1 Januari 1998, SKTJ secara rasmi dinaikkan taraf dari sekoalh Gred B kepada sekolah Gred A.

Dari aspek pembangunan fizikal pula, banyak kemudahan berjaya  disediakan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat. Pada 24 November 1996, sebuah pondok menunggu telah dibina berhampiran pintu pagar hadapan sekolah. Sebuah Taman Sains telah berjaya diwujudkan bersebelahan kantin sekolah pada pertengahan 1997. Pada Disember 1997, sebuah blok baru telah dibina iaitu Blok C (menempatkan 3 bilik darjah) dan mula digunakan pada 3 Januari 1998.

Pada 16 Januari 2000, SKTJ menerima Guru Besar Ke-3 iaitu Encik Anuar Bin Mokhtar. Beliau telah berkhidmat sehingga Januari 2001, sebelum bertukar ke Ipoh, Perak. Sepanjang perkhidmatan belaiu, SKTJ terus mengalami perubahan ketara khususnya yang melibatkan pertambahan bilangan murid dan kelas iaitu sehingga 63 kelas untuk menampung murid seramai 2600 orang. Bilangan guru juga telah meningkat dengan memdadak sehingga 99 orang, dengan dibantu oleh 4 orang kakitangan sokongan. Perkembangan ini menyebabkan sekolah terpaksa membuat permohonan membina bangunan tambahan dan kemudahan lain seperti makmal komputer bagi menampung keperluan murid dan guru.

Selaku Pegawai pendidikan di PPDHL sebelum berkhidmat sebagai Guru Besar di SKTJ, Encik Anuar telah berjaya mengenengahkan permasalahan ini dan hasilnya dalam tahun 2001, satu blok bangunan baru 3 tingkat dibina bersebelahan Blok B dan sebuah makmal komputer (berhampiran kantin sekolah) telah berjaya disiapkan untuk kegunaan sesi persekolahan 2002. Semasa perkhidmatan beliau, majalah sekolah yang diberi nama ‘Sri Taming’telah mengeluarkan edisi sulungnya bagi tahun 2000.

Seterusnya, tempat Encik Anuar telah diambil alih oleh Puan Marianah Bt Mohd Yusof selaku Guru Besar Ke-4 di SKTJ. Beliau telah berkhidmat selama 3 tahun 8 bulan iaitu bermula Januari 2001 sehingga Ogos 2004.

Pencapaian tertinggi beliau ialah berjaya mencipta rekod UPSR terbaik sekolah yang sehingga kini masih belum dapat disaingi iaitu 42 orang mendapat 5A dalam UPSR 2004. Dengan pencapaian ini, telah meletakkan nama SKTJ sebagai salah sebuah yang mencatat kejayaan cemerlang UPSR dalam Daerah Hulu Langat pada tahun 2004.

Ogos 2004, SKTJ sekali lagi mencatat sejarahnya. SKTJ menerima Encik Jafar Bin Ibrahim sebagai Guru Besar ke-5. Beliau merupakan guru besar yang paling lama berkhidmat di SKTJ sehingga kini. Beliau menamatkan perkhidmatan pada Julai 2011 setelah berkhidmat sebagai Guru Besar SKTJ selama 7 tahun sebelum meneruskan perkhidmatannya sebagai Guru Besar di S.K Desa Baiduri, Cheras, Selangor. Sepanjang tempoh tersebut, SKTJ telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam semau bidang, khususnya dalam bidang ko-kurikulum.

Encik Jafar juga telah mengubah nama kelas di SKTJ dari nama-nama planet kepada nilai-nilai murni seperti yang terdapat pada masa sekarang. Misi dan Visi Sekolah telah diubah buat pertama kalinya sejak penubuhan SKTJ pada 1995. Selain itu, semua bangunan sekolah juga telah dilabelkan semula bermula dengan Blok A sehingga blok I(kantin). Hal yang demikian memudahkan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan. Sehingga pertengahan 2011, bilangan guru SKTJ mencapai 120 orang dengan bilangan murid sekitar 2400 orang.

Pada Julai 2011, SKTJ menerima Guru Besar ke-6 iaitu Puan Norjahnah Bt Abdullah. Sebelum ini, belaiu merupakan Guru Besar Cemerlang dari SK Desa Baiduri, Cheras, Selangor. Antara langkah awal yang dilaksanakan untuk meningkat kecemerlangan dan sistem pengurusan yang baik di sekolah ialah dengan mengubah secara berperingkat keceriaan bangunan sekolah. Mural pada dinding, mengecat bangunan sekolah dan hiasan pokok bunga serta landskap tanaman di seluruh kawasan sekolah mengalami perubahan yang nyata.

Bermula 2012, beliau telah menetapkan murid tahun 1, 5 dan 6 akan bersekolah di sesi pagi manakala murid tahun 2,3 dan 4 pula bersekolah di sesi petang. Selain itu, program-program peningkatan akademik khususnya bagi kelas peperiksaan telah dimulakan sejak awal tahun. Guru-guru juga dapat memberikan fokus yang baik kerana perubahan bilik guru yang dibuat mengikut blok tempat gur mengajar. Dengan adanya penambahbaikan dalam sistem pentadbiran dan kerjasama erat semua pihak, diharapkan Guru Besar dapat membawa SKTJ ke tahap yang lebih tinggi dalam semua bidang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan